Thursday, November 14, 2013

Hentikan bantah Empangan Baram

Posted on November 12, 2013, Tuesday


MIRI: Penduduk di Baram harus menerima projek mega seperti cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baram sekiranya mahu melihat lebih banyak pembangunan di situ.
Ahli Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) Jaya Ramba berkata, mustahil untuk melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut sekiranya penduduk di kawasan itu menentang dan tidak bekerjasama dengan kerajaan.
“Pembangunan susah dilaksanakan seandainya ada pihak menghalang kerja bagi membantu rakyat di kawasan pedalaman.

“Masih ada pihak yang membantah projek hidro Baram setelah didesak dan dihasut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jaya dalam kenyataannya memberitahu, terdapat pihak yang menganggap diri mereka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertahankan Baram untuk dibangun dan dimajukan.
Tambahnya, kerajaan mempunyai perancangan tentang cara untuk membangunkan kawasan Baram termasuk mewujudkan Bandar Baharu Telang Usan.

Katanya ini sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi bagi rakyat di Baram justeru mereka harus menerima projek mega seperti projek hidro dan projek Bandar Baharu Telang Usan.
“Saya berasa kecewa juga membaca bila tidak putus-putus pihak tidak bertanggungjawab menghasut orang kampung membantah projek kerajaan.

“Ada pihak NGO yang menggelarkan diri mereka pencinta alam dan menyarankan agar sesiapa yang bakal menjadi calon pilihan raya menghantar surat kepada mereka. Mereka mahukan rangka pembangunan hidro Baram dan apa pula agenda mereka ini?” soalnya.
Beliau menasihati pihak yang diwakili parti pembangkang agar jangan terlalu kuno dan menentang pembangunan kerajaan.

“Dalam dunia ini, belum ada projek hidro mengancam penduduk dan mencemarkan alam sekitar yang menjadikan ribuan manusia terkorban.
“Kita melihat projek Bakun, sekarang projek berkenaan dalam proses siap dibina. Begitu ramai anak Sarawak bekerja di situ.

“Saya berharap masyarakat Baram tidak mudah dihasut, tidak mudah ditipu dengan agenda jahat sesetengah individu yang cetek pemikiran.
“Sampai bila kita miskin fikiran, idea dan kematangan. Orang lain menerima pembangunan dan kemajuan, kita pula menolak kerana kita mudah dihasut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jelasnya, semakin ramai generasi muda berhijrah ke bandar, justeru dengan adanya empangan itu nanti ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan penghijrahan ke kawasan lain.

2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

Kuasa elektrik dari Bakun sudah lebih dari cukup untuk kegunaan Negeri Sarawak, Brunei dan Sabah. Mengapa perlu ada empangan baru lagi seperti Baram. Lagipun tak lama lagi e.Murum akan siap, jadi sudah cukup buat masa ini. Mereka perlu menganalisis keperluan kuasa elektrik setelah e.Murum beroperasi secara penuh.

Kalau dengan e.Baram kawasan ini boleh dimajukan, mengapa di sekitar kawasan ASAP-Bakun penduduk makin hidup menderita, kerana tak cukup tanah, tempat untuk mencari rezeki sudah terhad. Boleh dikatakan hanya sekumpulan kecil sahaja yang mendapat faedah dari projek empangan ini. Infrastruktur seperti jalanraya dan telekomunikasi masih ditahap yang sangat menyedihkan, kemudahan asas pun belum dapat ditunaikan ke tahap yang sepatutnya. Hal yang sebenarnya mereka mahu membalak dikawasan itu dan dengan itu kerajaan negeri dapat menggunakan kuasa yang ada untuk menghalau penduduk dari kawasan itu, jalan raya dapat dibina dengan keadaan yang sangat menyedihkan seperti jalan Bintulu- ASAP-Bakun berlubang besar (giant pot hole) yang terdapat ke empangan Bakun sekarang ini. Penyelenggaraan jalan langsung tidak tiendahkan. Keaadan ini sangat memalukan dan rungutan rakyat langsung tidak di dengar. Adakah kawasan Baram ini dikatakan maju kalau keadaan yang sebegini yang bakal terjadi di kawasan Baram? Kerajaan kita belum bersedia lagi untuk menberi yang terbaik bagi kita rakyat. Fikir sendiri kalau anda menyokong empangan ini dilaksanakan. kalau tak percaya pergi dan lihat sendiri apa yang terjadi kepada penduduk yang dipindahkan dari kawasan Hulu Sungai Balui.

Here are the kenyahbadeng blog followers

Current visitor's location viewing this blog