Bicara Bestari Antara Tradisi Dan Budaya Moden
Thursday, 15 May 2008
Pada 24 April 2008 Bicara Bestari Antara Tradisi Dan Budaya Moden telah dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi dengan kerjasama JKKK Kampung Data Kakus di Ruai Ketua Kampung Peter Deno Amit Jalong Kampung Data Kakus Tatau, Bintulu. Perjalanan ke kampung ini mengambil masa 5 jam menggunakan kereta pacuan empat roda merentasi jalan balak dari bandar Bintulu. Kampung Data Kakus merupakan kampung yang didiami oleh suku etnik Orang Ulu Kenyah Badeng dan mempunyai kira-kira 2000 penduduk.
Tetamu Kehormat iaitu Yang Berbahagia Encik Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Tatau, Bintulu dan pihak penganjur telah diberi sambutan yang meriah dan mesra dengan alunan muzik tradisional dan tarian Ngajat Lasan serta Liko Dado semasa tiba ke kampung ini. Objektif-objektif Bicara Bestari ini diadakan adalah:
1)Untuk memberi kesedaran tentang peranan budaya tradisi dalam pembangunan sosial setempat; dan,
2)Untuk membincangkan isu-isu sosial akibat perubahan budaya.
Bicara Bestari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 175 peserta. Dua kertas kerja telah dibentangkan semasa Bicara Bestari ini.
Kertas 1: Peranan dan kepentingan budaya tradisi dalam pembangunan sosial setempat, dibentangkan oleh Encik Henry Colin Belawing (Penasihat Persatuan Lakiput Sarawak).
Kertas kerja 2: Budaya Moden: Kesan terhadap budaya tradisi dan masyarakat setempat yang dibentangkan oleh Encik Nyurak Keti, (Pegawai Tadbir) di Pejabat Daerah Tatau, Bintulu.
Sesi Dialog : Isu-isu semasa pula dipengerusikan oleh Encik Henry Colin Belawing. Ahli-ahli panel terdiri daripada Encik Peter Deno Amit Jalong (Ketua Kampung Data Kakus), Encik Etang Lesan (Yang Dipertua PIBG SK Ulu Kakus) dan Encik Jawa Tusau, (Pengerusi, SIB Data Kakus).
Penutupan Rasmi Bicara Bestari telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Tatau, Bintulu.
Sempena dengan Bicara Bestari ini acara Sukan Rakyat dan Malam Kebudayaan juga diadakan. Sukan Rakyat diadakan pada sebelah petang dan mendapat sambutan yang meriah dengan penyertaan 160 peserta. Pelbagai sukan dan permainan Kenyah Badeng telah dipertandingkan seperti: Sumpit (Ngeleput), Tarik Tali, Nyulo Eno, Asing , Kideu dan Pasa Un Sapai.
Malam Kebudayaan pula diadakan pada sebelah malam dan 180 penduduk kampung telah mengambil bahagian dalam tarian Ngajat Lasan, Datun Julut, Melalo, Belian dan Liko Dado. Malam Kebudayaan berlarutan sampai pukul 2.00 pagi. Dengan adanya program sebegini ianya selaras dengan Misi Nasional dalam membangunkan seni, budaya dan warisan budaya pelbagai etnik di Malaysia. Sewajarnya kita harus berasa bangga dengan seni, budaya, dan warisan yang kita ada dan terus mengekalkan nilai-nilai murni walaupun dalam arus pembangunan yang pesat.Kesempatan ini pihak Majlis Pembangunan Sosial Dan Urbanisasi, Kementerian Pembangunan Sosial Dan Urbanisasi mengucapkan ribuan terima kasih kepada JKKK Kampung Data Kakus, Pejabat Daerah Tatau, SK Ulu Kakus, RTM Kuching dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga kita dapat bekerjasama pada masa yang akan datang.
Teks Disediakan Oleh: Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (MPSU)
1 comment:
u denga
nice to surf the blog, its updating i guess
anyway, have a great day in building up the IT in our ethnic
tega tawai
ca lepo kenyah uma kulit
Post a Comment